Home Arkib / Petikan Akhbar

» Log Masuk Ahli

» Dari Meja Presiden

Archive

Kampung Baru: NGO lega jaminan kerajaan

 

KUALA LUMPUR 10 Jun - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik jaminan kerajaan yang memberikan hak milik kekal 100 peratus kepada golongan bumiputera dalam melaksanakan projek pembangunan Kampung Baru.

Menurut mereka, langkah tersebut akan memberi imej baru kepada orang Melayu selaras dengan pembangunan moden dan pesat di kawasan itu.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau berpuas hati dengan jaminan tersebut yang mengutamakan hak milik kekal kepada golongan bumiputera.

"Kampung Baru bakal berubah wajah menjadi bandar Melayu dan apa yang harus diutamakan adalah soal mengenai pelaksanaan yang bakal dibuat di kawasan tersebut,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, pembangunan Kampung Baru sudah pasti memerlukan modal yang banyak dan tidak semestinya ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

''Takkan nak minta kerajaan mengeluarkan modal untuk membangunkan kawasan tersebut sedangkan lebih baik wang itu disalurkan bagi membangunkan kawasan luar bandar.

"Sebab itu peluang perlu dibuka kepada pelabur asing untuk memajukan kawasan itu asalkan jaminan kekal 100 milik bumiputera dikekalkan dan diutamakan," katanya.

Semalam, kerajaan memberi jaminan kawasan Kampung Baru akan kekal 100 peratus milik bumiputera manakala projek pembangunan hartanah berdasarkan nisbah 60:40 antara bumiputera dan bukan bumiputera di kawasan itu merupakan hanya satu cadangan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kerajaan tidak memaksa pemilik tanah Kampung Baru untuk menerima cadangan membangunkan hartanah berdasarkan kuota 60:40 bagi bumiputera dan bukan bumiputera.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Izat Emir berkata, Kampung Baru merupakan kawasan yang strategik dan ia memerlukan pelaburan bagi memajukan kawasan tersebut.

Beliau berkata, lokasinya yang terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur dan dikelilingi oleh bangunan-bangunan maju boleh menarik pelabur untuk membangunkan kawasan itu.

"Perdasama yakin melalui jaminan yang telah dibuat, kerajaan dapat mengubah kawasan tersebut menjadi sebuah bandar yang lebih berdaya saing.

"Jenis perniagaan yang bakal dibuat di Kampung Baru harus mencerminkan ciri-ciri yang tidak menggugat peraturan agama seperti judi dan arak," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, penduduk setempat perlu bersatu padu terlebih dahulu sebelum memajukan Kampung Baru.

"Golongan ulama, intelektual dan korporat mesti berganding bahu dan bersatu bagi membangunkan ekonomi, sosial, politik dan pendidikan penduduk Kampung Baru.

"Apabila semua golongan bersatu-padu barulah ia mencerminkan ciri-ciri orang Melayu pada 50 tahun hadapan dengan imej dan semangat baru Kampung Baru.

"Selain itu, kawasan tersebut juga bakal diiktiraf sebagai kawasan orang Melayu yang maju dan berpendidikan," tegasnya.

Tambahnya, BBPM juga bersedia menjadi orang tengah untuk menyatupadukan dan membantu orang Melayu di Kampung Baru.

Tarikh                    : 11 Jun 2010

Akhbar                 : Utusan Malaysia
 

<< Start < Prev 1 2 3 4 Next > End >>

Page 1 of 4

» Carian Ahli

» Aktiviti

   
  Pelancaran Program Cipta Jaya Insan.
 
  Program Pembangunan Usahawan Bumiputera
 
   
 
Papar Semua Aktiviti

Perdasama © 2009-2010. Designed by EBI Resources